Ekologi dan sejarah hidup Buaya

Taburan dan habitat

Spectacled caiman merendam dalam air yang dilitupi dedaun

Buaya merupakan reptilia amfibia yang membahagikan masa antara air dan daratan. Genus daratan sepenuhnya yang terakhir, iaitu Mekosuchus, pupus kira-kira 3000 tahun dahulu setelah manusia tiba di kepulauan Pasifik yang didiaminya, maka kepupusan itu mungkin disebabkan oleh manusia.[67] Rata-ratanya buaya haiwan tropika; kecualinya aligator Amerika dan China yang masing-masing menjangkau taburan sejauh Amerika Syarikat tenggara dan Sungai Yangtze. Hanya di Florida, Amerika Syarikat di mana buaya sejati dan aligator hidup bersampingan.[68] Kebanyakan buaya hidup di tanah pamah. Hanya sedikit yang terdapat di atas paras 1,000 meter (3,300 ka), di mana suhu lazimnya kira-kira 5 °C (9 °F) lebih rendah daripada pesisir. Tiada satu pun yang kekal hidup dalam laut, tetapi ada yang boleh merenangi laut, malah beberapa spesies dapat menahan air payau kuala, paya bakau, dan kemasinan melampau dalam tasik hipersalinus.[69] Buaya katak mempunyai taburan terluas daripada segala jenis buaya dengan taburan dari India timur ke New Guinea dan Australia utara. Kejayaannya antara lain disebabkan kemampuannya untuk berenang jauh ke laut dan menjajah lokasi baru, tetapi tidak terhad kepada persekitaran laut dan banyak meluangkan masa di muara, sungai dan tasik besar.[70]

Buaya menggunakan pelbagai jenis habitat akuatik. Sesetengah spesies lebih gemar berjalan di atas darat dan menggemari paya, kolam dan tepi tasik di mana ia dapat berjemur di bawah matahari dan terdapat banyak hidupan tumbuhan yang menampung fauna yang pelbagai. Yang lain pula gemar berendam dalam air dan menduduki hilir sungai, paya bakau dan kuala. Habitat-habitat ini juga kaya dengan flora dan sumber makanan. Buaya gharial mencari ikan untuk dimakan di dalam kolam dan air mati dari sungai deras. Caiman kerdil Amerika Selatan menduduki anak sungai yang nyaman dan mengalir cepat, biasanya berdekatan air terjun, sementara caiman lain tinggal di tasik keruh yang lebih panas dan sungai yang mengalir perlahan. Buaya sejati rata-rata tinggal di sungai, sementara aligator Cina terdapat di sungai keruh yang mengalir perlahan di seluruh dataran banjir China. Aligator Amerika senang menyesuaikan diri dan menduduki kawasan paya, sungai atau tasik dengan air yang jernih mahupun keruh. Faktor iklim juga mempengaruhi taburan buaya tempatan. Pada musim kemarau, caiman boleh terhad kepada kolam jeluk di sungai selama berbulan-bulan; pada musim tengkujuh, kebanyakan savana di llanos Venezuela dibanjiri, maka caiman itu bertempiran di seluruh dataran.[71] Buaya gurun di Mauritania tersesuai dengan persekitaran gersangnya dengan tinggal dalam gua atau lubang dalam ekadaan pengestivatan tatkala paling kering. Apabila hujan, buaya gurun itu berkumpul di guelta.[72]

Buaya Amerika berjemur

Darat kering juga penting untuk dapat berjemur, bersarang dan berteduh dari suhu melampau. Mulut menganga membolehkan penyejatan kelembapan dari lapis mulut serta menyejukkan badan, malah beberapa spesies memanfaatkan lubang cetek di atas tanah untuk menyejuk. Berkubang dalam lumpur juga boleh mencegah pemanasan berlebihan.[73] Empat spesies buaya memanjat pokok untuk berjemur di kawasan yang tiada pesisir pantai.[74] Jenis tumbuhan di tepi sungai dan tasik yang didiami buaya rata-ratanya hutan tropika lembap, dengan paya bakau di kawasan muara. Hutan-hutan ini amat penting bagi buaya dengan mewujudkan mikrohabitat yang sesuai untuk buaya mekar. Akar pokoknya menyerap air ketika hujan, kemudian melepaskan air itu perlahan-lahan ke dalam alam sekitar. Apabila hutan dibasmi untuk pertanian, sungai akan berbelah, air deras mengalir, dan alur air boleh kontang pada musim kemarau sementara banjir boleh berlaku pada musim tengkujuh. Pemusnahan habitat hutan mungkin lebih menggugat buaya daripada memburu.[75]

Pemakanan

Buaya Nil menyerang hendap gnu yang menyeberangi Sungai Mara

Rata-ratanya buaya haiwan karnivor. Lain spesies, lain juga mangsanya, mengikut bentuk muncung dan ketajaman gigi. Spesies yang tajam gigi dan panjang runcing muncungnya seperti gharial India dan buaya air tawar Australia terkhusus untuk makan ikan, serangga dan krustasia, sementara yang lebar muncung dan tumpul gigi seperti aligator Cina dan caiman bermuncung lebar khusus untuk makan moluska bercangkerang keras. Spesies-spesies yang sederhana muncung dan giginya seperti buaya katak dan aligator Amerika mempunyai pemakanan yang lebih pelbagai dan mengambil kesempatan untuk makan serangga, krustasia, ikan, amfibia, reptilia lain, burung, dan mamalia. Biarpun rata-ratanya maging, ada segelintir buaya yang didapati makan buah-buahan, mungkin untuk menyebarkan benih.[76]

Pada umumnya, buaya adalah pemangsa serang hendap, tetapi strategi memburu berbeza mengikut spesies buaya dan mangsa. Mangsa daratan dihendap dari tepi air lalu dicakup dan dilemaskan.[77] Gharial dan lain-lain spesies makan ikan menghayunkan rahang ke sisi untuk mencakup mangsa, bahkan boleh melompat keluar dari air untuk menangkap burung, kelawar, dan ikan yang melompat-lompat. Haiwan kecil dapat dibunuh dengan tandukan buaya menggelengkan kepala. Caiman menggunakan ekor dan badan untuk menggiring ikan ke dalam air cetek. Ia juga boleh mengorek untuk invertebrat yang hidup di dasar, malah smooth-fronted caiman juga akan memburu di daratan. Sesetengah spesies buaya telah diperhatikan menggunakan ranting dan dahan untuk mengumpan burung yang membina sarang.[78] Buaya Nil diketahui memburu secara berkumpulan, malah boleh jadi berbilang ekor berkongsi makan satu bangkai. Kebanyakan spesies akan makan apa-apa sahaja yang dekat dan  juga merupakan pebangkai yang oportunis.

Gharial makan ikan

Buaya tidak dapat mengunyah dan perlu menelan makanan bulat-bulat, maka mangsa yang terlalu besar untuk ditelan perlu disiat-siat. Buaya mungkin sukar menguruskan haiwan yang tebal kulit, dan oleh itu perlu menunggu sehingga bangkai menjadi reput dan mudah pecah. Untuk menyiat tisu dari bangkai besar, buaya memusing-musingkan bangkai sambil menggonggong dengan rahang, iaitu pergerakan yang dipanggil "death roll" (golekan maut).[79] Ketika makan berkumpulan, boleh jadi bahawa beberapa ekor memegang mangsa sementara yang lain membuat golekan. Buaya-buaya tidak bergaduh, sebaliknya setiap seekor mengambil sahaja secebis daging sambil menunggu giliran seterusnya.[80] Buaya biasanya makan dengan kepala di atas air. Makanan digonggong dengan hujung rahang, dilambungkan ke arah belakang mulut dengan kepala menyentak ke atas dan akhirnya ditelan. Buaya Nil boleh juga menyimpan bangkai di dasar air untuk dimakan kemudian.

Pembiakan dan penjagaan anak

Ibu aligator Amerika dengan sarang dan anak-anak

Buaya pada umumnya bersifat polygini, iaitu setiap ekor jantan cuba mengawan dengan sebanyak mana betina yang boleh. Pernah dicatatkan pasangan monogami dalam kalangan buaya Amerika.[81] Buaya jantan dominan meronda dan mempertahankan wilayah yang merangkumi beberapa ekor betina. Jantan sesetengah spesies seperti aligator Amerika ciba menarik betina dengan lagak-lagak memikat yang teliti. Sewaktu memikat, buaya jantan dan betina boleh saling menggosok, berpusing-pusing dan berenang dengan lagak. Persetubuhan biasanya berlaku di dalam air. Betina yang bersedia untuk mengawan melengkungkan belakang sambil menyelamkan kepala dan ekor. Jantan bergosok di atas leher betina lalu mencengkam badan betina dengan kaki belakang. Si jantan meletakkan ekornya di bawah ekor betina supaya kloaka kedua-duanya sejajar untuk memasukkan zakar. Mengawan boleh mengambil masa sebanyak 15 minit, sementara pasangan terus tenggelam timbul.[82] Sedangkan jantan dominan membolot betina yang boleh membiak, diketahui bahawa aligator Amerika boleh jadi banyak bapa, iaitu sebanyak tiga ekor jantan dapat menurunkan seperinduk anak. Dalam sebulan setelah mengawan, buaya betina mula membuat sarang.

Telur buaya Nil

Bergantung pada spesiesnya, buaya betina boleh membina lubang atau guar sebagai sarang. Sarang guar diperbuat daripada dedaun, pasir kumbahan, pasir atau tanih. Sarang buaya selalunya ditemui berdekatan jerumun atau gua. Kadang-kadang ada sarang-sarang lain betina yang berdekatan, terutamanya dalam spesies bersarangkan lubang. Jumlah telur seperinduk adalah 10 hingga 50 biji. Telur buaya dilindungi oleh kulit keras buatan kalsium karbonat. Tempoh mengeram dua ke tiga bulan. Suhu eraman telur menentukan jantina anaknya. Suhu sarang nalar lebih 32 °C (90 °F) menghasilkan lebih jantan, sementara yang bawah 31 °C (88 °F) lebih betina. Namun begitu, jantina buaya boleh ditentukan dalam selang yang singkat, malah sarang tertakluk pada perubahan suhu. Kebanyakan sarang semula jadi menghasilkan anak kedua-dua jantina, tetapi boleh jadi juga seperinduk satu jantina sahaja.

Anak buaya boleh semua menetas dalam satu malam. Buaya lain daripada reptilia lain dari segi jumlah jagaan induk selepas anak menetas. Ibu buaya tolong mengeluarkan anak-anak dari sarang dan mengangkut mereka dalam mulut hingga ke air. Anak buaya baru menetas berhimpun dan bergerak rapat dengan ibu.[83] Bagi spectacled caiman di dataran Venezuela, diketahui bahawa ibu buaya berbanyak-banyak meninggalkan anak di sebuah "pusat jagaan anak" yang dijaga oleh salah seekor ibu.[84] Anak buaya pelbagai spesies cenderung berjemur secara berkumpulan pada waktu siang dan bersurai untuk makan pada waktu malam. Berbagai-bagai juga masa yang diambil oleh anak buaya untuk berdikari. Bagi aligator Amerika, anak-anak berkumpulan bergaul dengan dewasa selama setahun dua, sementara anak buaya Nil dan buaya katak menjadi berdikari dalam beberapa bulan.

Komunikasi

Kehidupan sosial buaya bermula apabila ia masih di dalam telur, kerana anak kecil sudah mula saling berhubung sebelum menetas. Ditunjukkan bahawa bunyi ketuk-ketuk yang lembut berdekatan sarang akan diulangi oleh anak-anak satu demi satu. Komnikasi awal begini mungkin membantu mereka untuk menetas serentak. Sebaik sahaja keluar dari telur, anak itu membuat bunyi dengking dan dengus dan buaya dewasa yang bukan saudara-mara pun cepat membalas panggilan kecemasan.[85]

Anak buaya yang bersurai kerap berteriak, begitu juga apabila berhimpun semula pada waktu pagi. Dewasa yang berdekatan turut mengeluarkan isyarat tentang kehadiran pemangsa mahupun makanan. Lain spesies lain jumlah bunyinya. Aligator adalah yang paling bising, sementara ada spesies buaya sejati yang senyap sama sekali. Buaya New Guinea dan buaya Siam betina mengaum apabila dihampiri dewasa lain, sementara buaya Nil mendengus atau melenguh dalam situasi serupa. Aligator Amerika sungguh bising; ia mengeluarkan tujuh lenguhan parau serangkai, setiap satu dua tiga saat sahaja dengan selang 10 saat, di samping juga membuat pelbagai jenis dengusan dan desisan. Jantan membuat getaran dalam air untuk menghantar isyarat infrasonik untuk menarik betina atau menakutkan lawan.[86] Cembung gharial jantan boleh dijadikan "penggema".[87]

Satu lagi bentuk komunikasi berbunyi ialah berdetap. Mula-mula buaya pegun dalam air mengangkat muncung sambil. Selepas beberapa ketika, rahangnya dibuka tutup dengan pantas dengan cakupan yang membuat bunyi detap-detap yang kuat, kemudian disusuli oleh percikan kuat, kemudian kepala direndamkan dan keluar banyak buih. Kemudian sesetengah spesies mengaum, sementara yang lain menghentak air dengan ekor. Lama-kelamaan seluruh kawanan turut berdetap. Tujuannya berbagai-bagai tetapi rupanya untuk mengeratkan hubungan antara buaya dan juga untuk memikat. Individu yang dominan boleh juga menayangkan saiz badan sambil berenang di permukaan air, kemudian buaya bawahan akan tunduk dengan mendongak pada sudut tirus dengan membuka rahang sebelum menyelam undur.

Tumbesaran dan mortaliti

Anak buaya katak dalam tawanan

Kadar mortaliti tinggi bagi telur dan anak baru menetas, malah sarang digugat oleh banjir, terlebih panas dan pemangsa. Banjir punca utama kegagalan buaya untuk berjaya membiak kerana apabila sarang tenggelam, embrio yang berkembang terputus bekalan oksigen dan anak-anak buaya pun terhanyut. Pelbagai pemangsa, baik mamalia mahupun reptilia, boleh menceroboh sarang dan makan telur buaya.[88][89] Sebaik mana pun dijaga oleh ibu, anak buaya yang baru menetas sering jatuh kepada pemangsa.[90] Apabila si ibu mengangkut sedikit anak ke tempat penjagaan, yang lain pula dicekup oleh pemangsa yang menanti berhampiran sarang. Selain daripada pemangsa darat, anak buaya pun terdedah kepada serangan oleh ikan dalam air. Burung pemangsa turut memberi kesan, malah dalam setiap seperinduk adanya individu cacat yang kurang berpeluang untuk hidup. Di Australia utara, kadar kemandirian anak buaya katak baru menetas hanya 25%, tetapi meningkat saban tahun hinggalah 60% menjelang lima tahun.

Kadar mortaliti bagi remaja dan dewasa pula cukup rendah, biarpun kadangkala menjadi mangsa kepada kucing besar dan ular. Jaguar[91] dan memerang gergasi[92] boleh memangsakan caiman di Amerika Selatan. Di benua lain pula, gajah dan badak air boleh membunuh buaya demi pertahanan. Dipertikaikan juga sama ada buaya makan sesama sendiri. Buaya dewasa biasanya tidak makan anak sendiri, tetapi adanya bukti tentang remaja yang makan anak serta dewasa menyerang remaja. Bagi buaya Nil, jantan lawan kadangkala berbunuhan sewaktu musim membiak.

Tumbesaran buaya muda bergantung pada bekalan makanan, dan kematangan seksual dikaitkan dengan panjang badan daripada umur. Buaya katak betina mencapai kematangan pada 2.2–2.5 m (7–8 ka), dan jantan pula 3 m (10 ka). Buaya air tawar Australia mengambil 10 tahun untuk matang pada 1.4 m (4 ka 7 in). Spectacled caiman matang lebih awal dengan mencapai panjang matangnya iaitu 1.2 m (4 ka) dalam empat hingga tujuh tahun. Buaya terus membesar sepanjang hayat, terutama sekali jantan yang makin tua makin berat, tetapi ini pun lebih kepada lilitan daripada panjang badan.[93] Buaya boleh hidup 35–75 tahun, dan usianya dapat ditentukan oleh gegelang pertumbuhan pada badan.

Peranan ekologi

Gharial menyamar dengan rumpai terapung

Sebagai pemangsa yang cukup efisien, buaya selalunya menduduki kemuncak rantai makanan dalam persekitaran berair.[94] Guar sarang yang dibina oleh sesetengah spesies buaya turut digunakan oleh haiwan lain untuk tujuan sendiri. Guar aligator Amerika digunakan oleh kura-kura dan ular untuk berjemur dan bertelur. Khususnya kura-kura perut merah Florida yang boleh bertelur beberapa biji di dalam sarang aligator di samping telur aligator.[95]

Aligator mengubah suai habitat tanah lembap di kawasan-kawasan rata seperti Everglades dengan membina kolam-kolam kecil yang dipanggil "alligator holes" (lubang buaya). Ini mewujudkan habitat yang lebih lembap atau kering untuk organisma lain seperti tumbuhan, ikan, invertebrat, amfibia, reptilia atau mamalia. Dalam lekukan batu kapur di paya sipres, lubang buaya selalunya besar dan dalam. Yang terdapat di marl prairie dan cerang batuan pula selalunya kecil dan cetek, sementara yang ada di lekukan gambut di tanah lembap berabung berselut pula berbagai-bagai ragamnya. Lubang buatan manusia tidak kelihatan meninggalkan kesan sebaik lubang buaya.[96]

Di lembangan Amazon, apabila buaya caiman menjadi kurang akibat pemburuan berlebihan pada abad ke-20, bilangan ikan tempatan seperti arapaima (Arapaima gigas) yang penting turut berkurangan. Airnya kurang zat di mana kencing dan tinja caiman dapat meningkatkan pengeluaran primer dengan memberikan zat kepada tumbuhan. Maka kehadiran caiman sewajarnya memanfaatkan populasi ikan;[97] nampaknya jumlah buaya di sesebuah kawasan air berkorelasi dengan populasi ikan setempat.[98]

Rujukan

WikiPedia: Buaya http://www.newholland.com.au/products/docs/9781741... http://www.publish.csiro.au/pid/7185.htm http://espace.library.uq.edu.au/eserv.php?pid=UQ:9... http://www.abc.net.au/science/articles/2012/04/25/... http://www.american-alligator.com/Crocodiles-and-A... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/289723/i... http://www.crocodilian.com/ http://www.edjameson.com/Endangered%20Animals/page... http://articles.timesofindia.indiatimes.com/2013-0... http://news.nationalgeographic.com/news/2002/06/06...